Isnin, 14 Januari 2013

Ummi dijerat kad kredit

Ummi pasti ramai yang memiliki kad kredit, sekurang-kurangnya satu. Memang mudah dan menyenangkan bila ada duit plastik ni. Beban menunggu gaji setiap hujung bulan agak berkurangan bila kad kredit boleh membantu mendahulukan wang ketika dalam kesempitan. Tapi tahukah pembaca-pembaca semua, bahaya kredit kad yang menjerat pengguna-pengguna atau bakal pengguna? Kisah ummi kali ini, tentang pengalaman ummi terperangkap dengan masalah kad kredit.

Kad kredit untuk gaya hidup?

Tahun 90-an merupakan waktu-waktu yang menonjolkan pemilikan kad kredit sebagai simbol 'lifestyle' (gaya hidup). Pemilik kad kredit adalah mereka-mereka yang berkerjaya dan hidup berstatus. Orang kebanyakan tidak merasa untuk memiliki kad kredit kerana syarat-syarat untuk kelulusan adalah agak tinggi. Ummi mula bekerja tetap semenjak tahun 1998 (selepas graduate), dan setahun kemudiannya berjinak-jinak dengan penggunaan kad kredit. Memang seronok masa tu, bila dapat beli barang guna kad kredit. Terasa bangga bila menghulurkan kad kredit pada juruwang. Awalnya penggunaan kad kredit ummi adalah terkawal, maklumlah masih bujang, gaji yang banyak tak terhabis terguna pun sampai hujung bulan.

Masalah bermula dengan kad kredit

Masalah kredit ummi bermula bila ummi berhenti bekerja daripada Mayban Finance sebagai auditor. Sebabnya suami (masa tu tunang) ummi tak suka kerjaya ummi sebagai auditor yang banyak menghabiskan masa outstation. Jadi, memandangkan hari perkahwinan semakin hampir, ummi bernekad mencari kerja lain. Tahun 2000 adalah waktu-waktu yang sukar terutama bagi orang yang menganggur seperti ummi untuk mendapatkan kerja. Waktu gawat!. Masa itulah bermulanya episod demi episod penggunaan kad kredit Citibank bagi membayar dan membiayai perbelanjaan. Ummi menganggur selama 3 bulan, bekerja part time selama 5 bulan sebelum ummi berjaya diserap masuk ke UiTM pada 2001. Selama 8 bulan itu, ummi telah menggunakan sehingga habis duit simpanan ummi selama 2 tahun kerja dan juga mengguna pakai semua kredit limit yang diberikan oleh kad kredit Citibank. :o Bayangkan!

Masih tak sedar-sedar lagi

Bila ummi sudah bekerja sepenuh masa semula, ummi mula membayar sedikit demi sedikit hutang kad kredit ummi. Tapi, panas bukanlah sampai ke petang. Ummi dihantar UiTM untuk sambung Master dibawah plan TPM (tenaga pengajar muda). Elaun bagi TPM masuk 3 bulan sekali. Jadi, bagi seseorang yang tak pandai menguruskan kewangan macam ummi ini, sampai bulan ke-3 ummi banyak bergantung pada kad kredit. Tak cukup dengan kad Citibank, ummi tambah dengan kad kredit Maybank. Bukan setakat itu sahaja masalah ummi. Selesai Master, ummi menghadapi masalah untuk segera diserap ke UiTM kerana polisi UiTM untuk menghantar keluar scholar TPM ke cawangan-cawangan. Dalam pada masa keputusan nak dibuat oleh UiTM, ummi 'tidak berkerjaya' selama 3 bulan. Masalah yang sama berulang lagi, ummi terperangkap dengan kebergantungan ummi pada kad kredit.

Padahnya kad kredit sendiri yang tanggung

Walaupun sudah 10 tahun bekerja kemudiannya, hutang kad kredit ummi tak pernah langsai. Pernah satu ketika ummi memohon pembiayaan peribadi bank rakyat, semata-mata untuk melangsaikan hutang kad kredit ummi. Jadi macam korek lubang tutup lubang. Cumanya kadar faedah untuk pembiayaan peribadi lebih rendah daripada kadar faedah kad kredit. Hanya sekejap saja nilai hutang RM0, kemudiaannya bertambah-tambah semula. Teruk betul ummi, memang tak pandai menguruskan wang, tapi suka berbelanja bila lihat barang-barang yang ummi berkenan.

Matlamat tahun 2012 tercapai!

Hanya tahun lepas ummi nekad untuk menutup terus kad kredit ummi dan hidup di atas pembiayaan wang gaji dan duit simpanan sendiri. Alhamdulillah, hingga kini ummi 'credit card-free' (tanpa kad kredit). Cuma tak boleh lah lagi suka-suka hati membeli belah dan berbelanja. Ummi dapati, pengurusan kewangan ummi bertambah baik bila ummi tak menggunakan kad kredit. Setiap bulan ummi akan adakan bajet bagi wang yang akan ummi dapat. Peruntukan utama adalah belanja-belanja wajib seperti yuran sekolah, barang-barang dapur, utiliti, dan sebagainya. Lebihan daripada itu, baru lah ummi peruntukkan untuk barang-barang sampingan contohnya percutian, baju, kasut, dsbnya. Semua belanja adalah atas kemampuan sendiri, bukan syok sendiri pakai kad kredit.

Ummi bukannya nak ajak semua orang jangan pakai kad kredit, tapi berwaspadalah. Ramai orang yang tak pandai menguruskan wang, dan mudah terjerat dengan budaya membeli belah walaupun tak mampu (seperti ummi) akan mudah terjerat dengan masalah kad kredit.

Anda bagaimana? Pernah menghadapi masalah yang sama? Jom share!


3 ulasan:

  1. Saya menggunakan kad kredit untuk dapatkan benefit cash back dan point.
    Alhamdulillah penggunaan setakat ni terkawal, ada isteri tolong uruskan akaun keluarga. Jadi, hanya swipe dalam lingkungan gaji sahaja.
    Memang berhati2 habis guna kad kredit, pasal pembacaan saya ramai dah terkena.
    Kad kredit ni ibarat bela harimau. Kalau jaga baik, bagi makan cukup, jinak lah ia.
    Kalo sebaliknya,,hehe (kitalah yang kene baham)

    BalasPadam
  2. http://cahayahati6281.blogspot.co.id/2010/07/permohonan-kad-kredit-i-bank-rakyat.html?showComment=1446717800792#c3367430454948169182

    BalasPadam
  3. Sebelum ini sy ada berkeping2 kad kredit yg digunakan utk mcm2 benda -petrol, peraduan reader's digest dll. Kad kredit tepu apply lagi tepu lagi apply lagi & seterusnya semua tepu. Kesemua kad kredit tersebut telah settle dgn buat pinjaman yg tinggi interestnya. Sy pegi minggu amanah saham baru2 ini di tapah & didesak utk ambil kad kredit. Jiwa sy lembut jadi terpedaya lagi tapi skrg sy tidak guna secara sewenang2 nya. Kad kredit hanya utk sihir shj tidak utk tujuan lain. Jgn salah faham. Bukan menyihir tetapi apabila disihir. Apabila disantau baru kuar cash utk berubat tidak mao lagi berfoya2 mcm dulu.

    BalasPadam